KATAMATA
Bermula dengan minat untuk melukis, belajar melukis, apa yang ingin dilukis, melukis bersungguh-sungguh sehinggalah kepada berkongsi hasil lukisan dengan orang lain. Tidak dapat dinafikan terdapat unsur ingin menunjuk-nunjuk, memperlihat dan menonjolkan apa yang telah dibuat atau telah diusahakan. Seterusnya diterapkan peningkatan dan persoalan pada dunia lukisan dengan usaha yang lebih SERIUS mungkin mendalam. Lukisan menjadi bertambah misteri dan unik berpandukan rujukan dan dan tunjuk ajar yang diajarkan. Dengan longgokan bahan rujukan dari dunia luar sehinggalah cebis-cebisan rujukan tempatan yang sempat direbut dan mampu milik. Timbul persoalan struktur lukisan yang bagaimana ingin dibingkaikan?, dalam bekas yang bagaimana?, dan untuk memerangkap apa?. Pembikinan dan halatuju bekarya yang menjadi pedebatan hebat di dalam diri sendiri kebanyakan pengkarya. Apakah yang perlu dipertanggungkan dan apa pula yang ingin diperjawabkan atau sekadar tidak mahu menahu apakah ianya. Setidak-tidaknya karya adalah bukti cerminan seadanya seorang pengkarya dengan karya bersama-sama khalayak di sekelilingnya. Jurang yang cuba diukur jaraknya. Melihat atau tidak adalah tindakbalas daripada pilihan.
Ruang yang bagaimana yang cuba disusun bagi menyarung idea atau persoalan sebegini?. Secara umumnya orang awam yang terdiri daripada pengkarya, peminat seni, pencinta seni, pengumpul karya seni, penggiat seni, pengkritik seni dan juga orang yang bukan seni.???. Mungkin tiada yang bukan seni. Dari sudut pandang keindahan dan keseimbangan pada kahalusan alam, diperantarakan pada sudut berpasang-pasang seperti cantik dan hodoh, besar dan kecil, biasa dan luar biasa dan seterusnya. Jika melihat lukisan adalah bagai melihat suatu yang misteri, begitulah juga dengan melihat seni. Seni membawa maksud yang subjektif, namun antaranya adalah; apa sahaja yang dibuat atau dihasilkan oleh manusia dipanggil seni. Seni adalah cara sesuatu untuk difikirkan. Hasil yang juga bermaksud produk mahupun karya. Berkenaan sesuatu yang terkesan, dengan apa yang diluahkan menjadi hasil sesuatu produk atau karya.
Dalam penghasilan sebuah karya, idea mahupun soalan yang bagaimana yang ingin diraikan, dijulang, dititik beratkan, dipegang, diharapkan, dipertonjolkan, dimenangkan, dipuaskan, keterujaan mahupun diagongkan, oleh pengkarya yang juga menjadi sebahagian daripada penonton bersama-sama penonton awam yang lain. Persoalan seperti potensi kecerdasan, pengalaman, perasaan, pendapat, pendirian, kemahiran teknik, abstrak sehinggalah pada kompleksiti di dalam karya?. Apa pula yang dapat dikaitkan dengan inisiatif di dalam berkretiviti?. Bagaimana pula pecahan-pecahan ini cuba dimuat turun semula menjadi gabungan yang saling berkait, rasional, segar dan mungkin boleh diperbaharui setidak-tidaknya dengan cara tersendiri?. Penampakan kesan terkesan ini bergetar dan bergelombang mencabar permainan minda penonton terutamanya pengkarya. Di dalam meneroka kelangsungan berkretiviti, rangka apa yang cuba distrukturkan menjadi bingkai dan bekas perangkap yang bagaimana yang ingin disusun mengelilingi karya?. Tuduhan-tuduhan bagaimana pula yang ingin dikembangkan sebagai penambahbaikan sesuatu produk karya yang di lihat dari sudut artistik, kretiviti, idea, teknologi, ujikaji dan lain-lain lagi.
Menyelinap sebentar dari sudut yang tidak formal sepertimana persoalan di atas, apakah strategi, resepi, dan eksperimen yang cuba berlaku di minda pengkarya?. Bagi menghasilkan sebuah karya yang 'di buat-buat balik' atau 'mengada-ngadakan' ini, desakan keaslian penghasilan karya yang bagaimana yang mendorong kepada apa yang ingin dimulakan, apa yang dibangkitkan, serta apa yang bukan seperti kebiasaan. Muncul pula congakan tersendiri untuk menghasilkan karya yang pelik, besar, dan banyak, berlawanan jika dilihat dari sudut kebiasaan, kecil, dan satu atau sedikit. Cubaan demi cubaan diteroka, direka, dan dihias, demi mempadukan ramuan pengembaraan yang menitikberatkan penyampaiannya, keunikannya, kretivitinya, kerajinannya, kemahirannya, kesanggupannya sehinggalah pada ketidakjangkauannya. Apa yang cuba di perangkap, memerangkap dan terperangkap, di dalam sesebuah karya?. Tidak ketinggalan cubaan representasi keterkinian peredaran zaman di dalam penciptaan karya.
Informasi membolehkan kita mendapat tahu bermacam benda. Terdapat jawapan yang perlu dipersoal atau belum dipersoalkan dengan keraguan yang mungkin belum timbul. Merasa asing mungkin?. Pandangan demi pandangan bergilir-gilir menerjah pandangan lainnya. Penafsiran realiti, penafsiran logik dan kelangsungan penyampaiannya. Inikah yang dikatakan sebagai latihan berfikir secara mendalam?, atau kemalasan berfikir?. Di dalam mempelajari kemampuan berfikir secara mendalam menggunakan dasar permasalahan yang berlaku di dalam kehidupan manusia. Di dalam kesanggupan mempersoalkan soalan dan cara berfikir pada peringkat-peringkat tertentu atau sekurang-kurangnya sebagai analisa cara pandang seseorang.
Ujikaji yang memerlukan pemikiran permasalahan dari sudut yang agak berbeza dan berlainan. Apa yang menyebabkan kretiviti dan keaslian adalah lebih penting daripada kemahiran teknik semata-mata?. Bagaimana rekaan dan pola mencorak struktur menempatkan perasaan rasa ingin tahu dan rasa ingin buat yang 'rojak' ini di dalam merealisasikan realiti pengkarya. Rojakan daripada Timur dan Barat berkenaan penghasilan karya seni yang mendorong minat, perhatian, dan penumpuan yang tersendiri. Bagaimanakah kebolehan menggabungkan dunia halus (jiwa) dengan dunia kebendaan (materialistik) dan sebaliknya. Momentum yang dapat menghubungkan kebarangkalian kebendaan versus kerohanian, terjadi dengan sendirinya versus tercipta dari sesuatu, mahupun sesuatu yang pasti-terang-teguh (firm) versus terlus-jelas-ketara (transparent).
Membaca karya sebagai seni visual dapat diselingkan pada keadaan melihat bahasa sebagai seni suaranya. Semiotika (kajian tanda dan makna) atau bahasa dikatakan sebagai salah satu proses menamakan benda, permainan tatabahasa, menamakan perlakuan, menamakan fungsi benda dan perlakuan, memaknakan penamaan, membunyikan, dialek pengamal, sehinggalah abstrak penggunaannya. Melihat bahasa adalah lebih rumit dan sukar jika dibandingkan dengan melihat visual. Kerana bahasa dapat bertindak selembut sutera sehinggalah setajam pedang. Gambaran dan tindakbalas antara satu sama lain ini adalah berkenaan unit bahasa dengan objek dan juga representasi hubungan logik diantara objek-objek tertentu dan batas-batasnya. "Hidup ini macam main-main, tapi jangan main-main, jadi mainlah dengan serius". Kesusasteraan pembahasaan ini juga adalah sebagai salah satu contoh, yang menambahkan lagi keunikan di dalam bahasa. Arus teknologi siber pula memperkenalkan serta menggalakkan penggunaan memendekkan dan pemaknaan baru sesuka hati pada penggunaan ayat, seperti 'shortform' dan perkataan klise. Walaubagaimanapun, gejala pembahasaan ini tetap menjadi rekod koleksi bersama-sama. Daripada aktiviti merekod perkara (things) atau benda (object) yang dibaca, dan membaca semula perkara dan benda yang direkod. Bahasa adalah pengguanaan bersama yang digunakan seharian, bersifat tidak jelas dan bertindih-tindih. Dan ada baiknya jika berdiam sahaja apabila tidak dapat mengatakan apa yang ingin dikatakan?.
"Apalah sangat, tu baru pasal bahasa jer tu!". Mungkinkah begitu?. Bagaimana pula hubungan bahasa dengan realiti jika dibandingkan dengan hubungan visual dengan realiti? Kelebihan menyebelahi seni visual sebagaimana objek yang dilihat mempunyai hubungan yang agak rapat dengan realiti dan representasi alam yang dikaitkan dengan benda (object). Walaupun masih terpisah diperantaraan perkara atau hal benda (things) yang dirakam dengan benda sebenar. Tindakan atau aktiviti melihat dan mendengar misalnya, terlebih dahulu terjadi sebelum melakukan aktiviti membuat balik atau merekod tindakan-tindakan tadi. Didalam proses menamakan dunia sekitarnya, bahasa tidak dapat menukar seadanya kenyataan (reality) yang saling bergantungan itu. Hubungan di antara apa yang dilihat dan didengar, dengan apa yang diketahui dengan pengetahuan tersebut adalah tidak berkesudahan saling memerlukan, dan sementara. Sudut pandang yang sering berbeza-beza, namun jika dilihat dari sudut yang sederhana, apa yang dapat dimanfaatkan?.
Misteri keunikan artistik seni, seperti kehalusan bahasa, penjiwaan visual, dan kegermilapan minda. Terdapat perkara yang ingin dikongsi, diajarkan, mengajarkan, secara berlangsung, tidak langsung, sensitif, mendalam dan mungkin tidak terjangkaukan. Namun ada juga perkara di luar batasan dan mustahil berlaku kerana batasan pengetahuan. Proses yang dapat berlaku dari atas dasar keterbukaan dan batas-batas yang melingkunginya. Penerimaan dan penapisan yang tersendiri demi mendapatkan hasilnya. Pantulan sejarah yang mencorak keterkinian sekarang yang mungkin lebih mundur dari dahulu atau mungkin terlalu maju dari dahulu. Dipandang dari sudut sejauh mungkin (global), mahupun sedekat mungkin (tempatan), ataupun sekompleks mungkin (diri sendiri). Merekod benda dan perkara yang dinamakan, membahasakan benda dan perkara yang direkod, membaca benda dan perkara yang direkod, menamakan pula rekod yang dibaca dan sehinggalah seterusnya. Hidangan-hidangan yang bagaimana yang cuba dihidangkan daripada apa yang yang telah terhidang?. Bermain 'puzzle' dan 'lego'?.
Seni visual setidak-tidaknya dapat diklasifikasikan sebagai aktiviti pengkarya merekod apa yang berada di minda dan bagaimana penghasilan luahan ide tersebut ke dalam permukaan dimensi realiti masing-masing. Ide yang berlaku secara langsung, tidak langsung. Potensi seperti tahap kecerdasan, displin pengerjaan, gaya hidup, ekonomi, masyarakat sekitar dan peredaran zaman mempengaruhi proses pembikinan karya. Persoalan tentang apa yang ingin diteruskan, berterusan, ditolak, digunapakai, dan juga diperbaharui. Apakah yang ingin diperoleh daripada cerminan karya tempatan?. Pendekatan apa yang digunakan sebagai rujukan dan modul rujukan yang bagaimana yang ingin dipertembungkan dalam tujuan menggarab gabungan dan cantuman hasil dan kesan pada persekitarannya?.
Sikap dan adab apabila menonton sesebuah karya dan pameran dijadikan contoh sepertimana ianya masih janggal pada ketidakbiasaan penonton yang masih dipengaruhi oleh budaya sikap. Kuat bekerja yang tidak tahu cara bersantai, dan jika bersantai pula, selalunya sia-sia. Digelar sebagai 'workerholic', sering berkejaran dan bersungguh dengan ketidakpastian kerja yang dikerjakan. Apabila bersantai pula seperti di 'kedai kopi' yang kuat sembangnya sahaja. Kebarangkalian apa sahaja yang berada di bawah pengaruh 'terlepas pandang' dan 'perlaksanaan', kerana hanya ingin terus mengejar keselamatan dan kehidupan. Budaya berpameran pula digayakan dengan representasi retorik dan agenda yang tersendiri mengikut tujuan dan persekitarannya. Karya akan menjadi sebuah rujukan, dikumpul, dicetak, disusun, diulang, dan dihubungkaitkan dengan kemungkinan penerokaan-penerokaan lainnya. Apa yang ingin diuji dan dikaji untuk membuka ruang dan memberi pemaknaan baru menggunakan pembolehubah yang belum diperincikan secara terperinci. Setidak-tidaknya mencungkil rasa ingin tahu pada pendedahan yang rational dan relevan dan bukannya pada 'formula tetap' semata-mata. Melihat dari sudut yang pelbagai dan seadanya, berkenaan apa yang dapat dikaitkan dan dimanfaatkan bersama atau cukup sekadar mengiyakan sahaja citarasa, pendapat, dan kepentingan yang berbeza dan berubah-ubah.
Perkara yang mudah dilihat secara ringkas, dan perkara yang kompleks dilihat secara abstrak. Namun rangkaian-rangkaian yang bagaimana yang dapat menghubungkan helah yang licik (tricky) berkenaan visual yang memerangkap, diperangkap, dan terperangkap ini. Latihan-latihan berkenaan sesuatu seperti melihat hal benda, objek fikiran, dan cerminan jiwa yang mungkin sedikit sebanyak dapat menghubungkan dalaman luaran(internal external), tersirat dan tersurat (spoken unspoken), kerpecayaan, sains, falsafah, psikologi, dan seni di dalam konteks pengetahuan, budaya, sosiologi, ekonomi, dan sebagainya.
Keberlangsungan ilmu diperoleh daripada garapan pengetahuan secara formal dan tidak formal serta demi mendapatkan manfaatnya. Disebalik rantaian keasyikan kemasyuran, kegemilangan kecantikan, ikonik yang ironik mahupun apa-apa sahaja yang berlawanan dengannya boleh diperimbangkan dan diadili demi kepentingan dan manfaat berfikir. Asas idea, insepsi, persepsi, dan disepsi berkenaan perkongsian di dalam kehidupan seperti penambahbaikan kekurangan, keterlebihan, kekaburan, kesahihan, ketulusan dan lain-lain lagi. Penambahbaikan yang dapat dilihat pada informasi maklumat, fasiliti dan bahan, budaya berpameran serta program kesenian adalah antara contoh yang positif yang diperlihatkan sebagai struktur yang membina sejarah dan keterkinian peredaran zaman dan karya tempatan yang masih muda ruangannya.
No comments:
Post a Comment